Friday, January 22, 2010

Kasihanilah laut kita..



8 Jun adalah Hari Lautan Sedunia yang pertama kali diistiharkan pada 8 Jun 1992 di Puncak Bumi, Rio de Jeneiro di Brazil. Pengistiharaan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya laut kepada kehidupan manusia. Berbanding pencemaran darat yang boleh dilihat dengan jelas dan lebih mudah diuruskan, pencemaran di laut tidak dapat disempadankan. Kesan buruknya akan dan sedang berlaku secara global dengan pesat namun tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Malangnya 'kebutaan' ini menyebabkan manusia kian angkuh dengan pelbagai aktiviti yang terus menerus memusnahkan laut. Sampah plastik, sisa industri dan minyak dikenalpasti sebagai angkara utama manusia yang mengganggu dan seterusnya membunuh habitat dan hidupan marin.

Kesan kemusnahan dari tumpahan minyak amat sukar dikenalpasti. Ini kerana kesannya terhadap hidupan marin tidak kelihatan dengan mata kasar serta tidak menyebabkan perubahan ekonomi serta-merta. Di mata hidupan marin termasuk burung laut,penyu dan ikan paus, ampaian plastik kelihatan seperti makanan bagi mereka namun akhirnya membunuh hidupan itu akibat tercekik, keracunan atau tidak lalu makan disebabkan rasa 'kenyang'. Selain itu, jaring, tali-tali pancing dan mata-mata kail berangkai yang tersangkut dan sengaja ditinggalkan kaki-kaki pancing juga banyak membunuh hidupan marin. Di Malaysia, pencemaran sisa industri yang mengalir ke laut terutama di negeri-negeri perindustrian Pulau Pinang, Sekangor dan Johor harus diberi perhatian. Ini kerana pencemaran itu boleh menjejaskan hidupan marin dan seterusnya sumber makanan dan ekonomi nelayan tradisional.

Punca-punca pencemaran laut yang sering berlaku di perairan negara kita adalah kerana sungai yang tercemar akan mengalir ke laut dan seterusnya membawa pencemaran bersamanya. Selain itu juga sesetengan bandar dan bandar raya di tepi pantai mengepam kumbahan terus ke dalam laut dan ini menjadikan kualiti air laut semakin terjejas. Minyak yang tumpah daripada tangki minyak dan pelantar minyak merebak di lautan lalu membunuh burung laut, kerang-kerang dan hidupan liar yang lain. Tumpahan minyak paling buruk dalam sejarah adalah kapal tangki minyak Exxon Valdez pada 1989 yang pecah dan menumpahkan lebih 35,000 tan minyak mentah di perairan Prince William Sound di Alaska. Minyak bukan sahaja telah meliputi lebih 2,300 kilometer persegi permukaan laut malah dalam masa tiga hari, 50 peratus daripada minyak itu mendak di persisiran pantai. Ini menyebabkan kematian ratusan ribu hidupan marin termasuk 13 peratus daripada populasi anjing laut, 28 peratus daripada populasi daripada populasi memerang laut sehingga 645,000 ekor burung laut.

Masalah pembuangan sampah ke dalam laut sama ada akibat aktiviti yang dijalankan di kawasan marin atau di darat jika tidak ditangani segera boleh menjadi semakin serius dan berkemungkinan membawa kerosakan kepada sistem ekosistembatu karang dan laut di negara ini. Pensyarah jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zelina Zaiton Ibrahim berkata kesedaran awam mengenai pembuangan sisa pejal di laut masih rendah walaupun kebanyakan faham kepentingan menjaga alam sekitar. Ini berlaku kerana ramai yang tidak nampak kepentingan laut kepada manusia, lebih-lebih lagi laut itu dilihat luas dan jauh daripada pandangan mereka.

"Kebanyakan masyarakat menganggap laut luas dan jauh daripada kehidupan harian, maka laut itu boleh menjadi tempat pembuangan sampah yang paling sesuai. Tanggapan ini perlu diubah, jika tidak dikhuatiri pada masa depan kawasan tadahan air akan tercemar,"katanya. Persepsi tidak tepat terhadap laut juga menyebabkan ia menjadi tempat semua longgokan sampah dan sisa lain termasuk pembuangan minyak. Pensyarah Pengurusan Strategik Zon panatai dan maritim, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar UPM, Laksamana Pertama (B) Prof madya Dr. Sutarji Kasmin, berkata sisa buangan enap cemar juga berisiko tinggi menyebabkan pencemaran kepada hidupan laut. Kebiasaannya, sisa buangan enap cemar seperti minyak hitam dibuang oleh kapal dagang. Kawasan yang sering menerima akibat ini adalah laluan kapal dagang dan pelabuhan. Di negara ini, laluan yang sering menjadi tempat pembuangan enap cemar adalah Selat Melaka kerana ia adalah laluan paling sibuk di dunia. Sisa buangan daripada jeti minyak dan gas serta bahan buangan daripada kapal nelayan, bot rekreasi dan kegiatan memancing turut menyumbang kepada pembuangan sampah ke laut.

Sampah sarap daripada daratan dibawa ke laut melalui sungai dan terusan yang memberi kesan kemusnahan kepada pantai. Maka, perlu ada amalan yang baik untuk pengurusan sampah dan cara pengendaliannya (pengumpulan, penghantaran, pengangkutan, dan pengalihan, pegnhapusan dan penembusan sampah). Pada masa ini mengikut laporan itu, pengurusan sampah di Malaysia dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ketiadaan data lengkap mengenai tahap kebersihan dean pencemaran menyukarkan usaha mengatasi masalah pembuangan sampah di Malaysia. Namun, secara keseluruhannya warga Malaysia sudah ada kesedaran mengenai masalah pembuangan sampah melalui siri kempen pembersihan pantai dan program kesedaran yang dilakukan berterusan. Perlu ada amalan yang baik untuk pengurusan sampah dan cara pengendaliannya.

Minyak merupakan sumber tenaga yang utama di dunia, tetpi disebabkan agihan yang tidak seimbang di antara negara, ianya mesti diangkut menggunakan kapal tangki melintasi lautan atau paip melalui daratan. Masalah timbul apabila berlaku kemalangan yang tidak di duga ketika minyak dipindahkan ke kapal, ketika membuat penghantaran antara negara menggunakan kapal, ketika paip minyak bocor, atau ketika kerja-kerja penggerudian pencarian minyak dilakukan. Tumpahan minyak memberikan kesan kepada alam sekitar kerana ia mencemarkan pantai, hidupan laut dan darat, serta kesihatan manusia. Disamping itu, kesan kepada ekonomi pula meliputi pengurangan hasil tangkapan ikan semasa kejadian berlaku dan musim-musim seterusnya kerana sumber makanan terjejas, sektor pelancongan dan peningkatan pengangguran. Dari sudut pengguna pula, mereka terpaksa membeli ikan dengan harga yang lebih mahal. Keseluruhannya pengguna, pengeluar, dan masyarakat boleh terjejas apabila berlaku pencemaran marin.

Menurut Pengerusi Rancangan Kajian Pencemaran, Pusat Kajian Samudera dan Pantai USM, Prof. Madya Zubir Din beliau telah dilantik mengetuai program pengawasan khusus pencemaran kawasan pantai. Menurut beliau lagi aktiviti awal dalam program tersebut ialah untuk meningkatkan kemampuan dari segi pengurusan dan makmal di Malaysia serta negara-negara Asean khusus dari sudut kawalan pencemaran pantai." Ini termasuklah pembelian beberapa alat untuk kerja-kerja analisis, mengadakan bengkel serta mengadakan latihan di Malaysia dan Kanada," tambah beliau lagi.

Malaysia dikelilingi oleh laut di mana terdapat pelbagai aktiviti seperti carigali minyak dan pengangkutan air. Justeru itu, Malaysia juga adalah terdedah kepada risiko tumpahan minyak yang besar. Perangkaan menunjukkan bahawa lebih dari 165 pelantar minyak telah menjalankan usaha cari gali dan aktiviti pengeluaran di perairan Laut Cina Selatan dan Selat Melaka pula adalah laluan perkapalan yang antaranya paling sibuk di dunia. Dalam tahun 1995 terdapat lebih kurang 30251 buah kapal yang telah melalui Selat Melaka yang mana hampir 30% adalah merupakan kapak-kapal tangki.
(Sumber: Perangkaan Jabatan Laut Semenanjung Malaysia)

Kini, laut semakin terancam oleh aktiviti manusia yang ghairah mengejar meterialistik tanpan menghiraukan implikasi kepada alam sekitar. Pencemaran di Asia Tenggara adalah berpunca daripada pelbagai faktor. Kepelbagaian faktor ini menyebabkan kualiti dan kuantiti air laut tercemar dengan begitu teruk tanpa ada satu vaksin yang mujarab untuk memulihkannya. Lebih 90% daripada punca pencemaran laut adalah disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10% adalah berpunca dari sektor perkapalan. ( Persatuaan Pecinta Alam, Tumpuan Minyak yang Meracuni Perairan Malaysia, Dewan Kosmik (Mac), DBP, Kuala Lumpur, 1995, ms: 53-55)

Terdapat tiga buah negara yang berkongsi perairan iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand. Ketiga-tiga negara ini saling terlibat dalam kerjasama yang bertujuan untuk mencapai kepentingan bersama. Malaysia dan Indonesia telah berkerjasama dalam usaha mempertahankan kedaulatan Selat Melaka di bawah kedaulatan kedua-dua negara. Walaupun isu Selat Melaka bersifat rumit namun ia tidak pernah menghalang negara-negara berpantai untuk berprihatin terhadapnya. Buat masa ini Malaysia dan Indonesia melalui Asean mereka telah menyalurkan pandangan mereka mengenai isu-isu Selat Melaka. Satu rancangan yang dikenalai sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah diadakan di Jabatan Alam Sekitar.

Objektif bagi kerjasama serantau ini membolehkan satu tindakan serta-merta dijalankan bagi mengawal tumpahan minyak yang tertumpah di perairan Malaysia. Apabila berlaku kejadia tumpahan minyak, pihak yang bertanggungjawab akan menjalankan operasi pembersihan minyak secara berperingkat-peringkat iaitu peringkat tempatan, peringkat kawasan dan peringkat wilayah. Bahan-bahan buangan radioaktif dan ujian-ujian bom nuklear di laut-laut juga penyumbang kepada pencemaran air dan laut. Banyak bahan radioaktif yang terhasil dari makmal dan buangan hospital yang mengandungi sisa-sisa toksid larut dalam air serta mencemarkan air sungai dan air laut.

Kesimpulannya, pencemaran air merupakan satu masalah sosial yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya. Kita harus memastikan bahawa persekitaran kita bersih dan selamat untuk hidup. Langkah-langkah perundangan penting dalam menangani masalah ini. Kesedaran melalui pendidikan alam sekitar juga dapat membendung fenomena ini. Pihak berkuasa tempatan harus memainkan peranan yang penting bagi membantu menyelesaikan isu ini. Pegawai-pegawai jabatan dari peringkat pucuk hingga ke perimgkat akar umbi harus melaksanakan tugas yang diamanahkan untuk melindungi dan mencari jalan mendapatkan cara eksploitasi laut terbaik demi kepentingan manusia sejagat di masa akan datang.

Peranan yang dimaksudkan termasuk menyekat penuaian hasil laut melampau menghalang nelayan daripada menggunakan peralatan menagkap ikan yang dilarang atau diharamkan, menyekat penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing, menghalang para pelawat terutama penyelam skuba yang mencuri dan merosakkan ekosistem terumbu karang atau menggangu kehidupan semula jadi.

Nurul Hanis Bt. Miserang (120139)

No comments:

Post a Comment