Friday, January 22, 2010

SUNGAI ASET YANG PENTING


Tahukah anda apakah kegunaan sungai kepada kita? Sungai merupakan salah satu punca air tawar di bumi ini. Sungai merupakan sumber semula jadi yang secara tidak langsung menyumbang kepada kehidupan pembangunan manusia dalam sesebuah masyarakat di dunia ini. Fungsi sungai yang pelbagai dalam kehidupan manusia telah menjadikan sungai sebagai aset yang sangat penting. Fungsi sungai yang paling utama kepada manusia adalah sebagai sumber bekalan air sama ada untuk kegunaan domestik atau komersil. Kegunaan domestik utama sungai adalah sebagai bekalan air bersih untuk minuman, membasuh pakaian dan mandian. Fungsi komersil sungai adalah seperti kegunaan dalam industri, pertanian dan akuakultur. Sungai juga digunakan untuk tujuan rekreasi seperti berenang, bersampan dan berkayak dan memancing. Persekitaran sungai pula digunakan untuk rekreasi pasif seperti berehat dan mendapatkan ketenangan serta menghayati persekitaran sungai. Sungai juga digunakan sebagai medium pengangkutan, mendapatkan sumber protein seperti ikan serta kegiatan ekonomi seperti menangkap ikan dan menjual pasir sungai.



Akan tetapi, oleh kerana perlepasan sisa toksik, pencemaran air dan haba serta pembuangan sampah dan sisa kumbahan yang tidak boleh diolah ke dalam sungai secara langsung telah menjejaskan kualiti air sungai kita dan seterusnya menyebabkan sebahagian besar air sungai perlu menjalankan olahan yang intensif bagi mengolah air tercemar kepada air minuman.



“Kita tidak mewarisi bumi kita ini daripada nenek moyang kita, tetapi sebaliknya kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita.....”. (Chief Seattle). Begitulah sebahagian terjemahan kata-kata sebagai bahan rujukan oleh penceramah dan aktivis alam sekitar di seluruh dunia tentang pentingnya menjaga alam sekitar yang menjadi tanggungjawab setiap penduduk dalam sesebuah negara supaya tidak merosakkan alam sekitar ini dengan sewenang-wenangnya dalam apa jua cara untuk mengelakkan kesan buruk kepada generasi yang akan datang.



Tahukah anda pula, apakah itu pencemaran? Pencemaran merupakan apa-apa perubahan langsung atau tidak lansung kepada sifat-sifat fizikal, haba, kimia, biologi atau radioaktif mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan-buangan hingga menjejaskan apa-apa kegunaan berfaedah, menyebabkan suatu keadaan yang berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau kepada binatang, burung, hidupan-hidupan liar, hidupan akuatik atau tumbuhan-tumbuhan.



Pencemaran sungai merupakan suatu isu yang amat mendesak dan memerlukan usaha holistik daripada pelbagai pihak ke arah penyelesaiannya. Kualiti air sungai-sungai di Malaysia semakin terancam dengan pencemaran.



Di Malaysia, terdapat 12 billion meter padu air yang diambil dari sungai setiap tahun, yang mana 22% digunakan untuk berkalan air. 75% untuk kegunaan saliran dan pertanian dan 3% untuk kegunaan yang lain. Selain itu sebanyak 26% kuasa elektrik kebangsaan dari tenaga hidro (Chop dan teh, 1993).



Dalam kebanyakan kawasan di Malaysia, bekalan air dicemari dengan bahan sisa toksik. Pencemaran air akan menjadi suatu masalah kerana populasi manusia yang menambah beban kumbahan tambahan ke dalam sungai. Secara umumnya, pencemaran boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu,



  • Pencemaran fizikal (bahan tidak larut dalam air seperti sampah sarap, logam, kertas dan kaca)

  • Pencemaran biologi ( seperti najis binatang yang menyebabkan pertumbuhan bakteria seperti Escherichia coli atau E. Coli dan mikrob lain).

  • Pencemaran kimia ( bahan kimia terlarut seperti pencemar fizikal dan biologi serta logam berat).


Selain itu, berkaitan isu pencemaran sungai ini, bukan sekali tetapi sudah terlalu kerap Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan teguran yang berhubung kait dengan kekecewaannya terhadap kualiti air sungai di negara ini. Isu berkaitan aspek kebersihan sungai tidak pernah berpenghujung walaupun Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah sendiri kerap kali membangkitkannya. Antara kata-kata sinis beliau ialah, dulu ada ikan dan udang (dalam sungai) tetapi sekarang dua minit sahaja anak buaya pun boleh mati (Utusan Malaysia, 7 Februari 2007). Sungai Klang yang mengalir di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Lumpur misalnya masih lagi merupakan suatu ‘mercu tanda’ yang memalukan.



Sungai juga turut memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan bandar di Malaysia. Pada peringkat awal dalam sejarah pembandaran Malaysia, sungai mempengaruhi pertapakan bandar. Jika diteliti, semua bandar awal Malaysia terletak di kawasan kuala atau tepi sungai seperti Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Alor Star, Kuantan, Kota Bharu, Kuching dan Bandaraya Melaka. Selain itu, masih terdapat banyak lagi bandar kecil dan pekan yang terletak di tepi atau muara sungai (Andaya & Andaya 1992).



Namun, dengan berkembangnya Revolusi Perindustrian semenjak abad ke-18, sungai mula mengalami kemerosotan khususnya dari segi kualiti airnya. Dengan berkembangnya bandar dan kegiatan perindustrian serta perdagangan, kualiti sungai mula mengalami kemerosotan apabila berlakunya masalah hakisan, pemendapan dan pencemaran. Semua permasalahan tersebut sebenarnya berpunca daripada sikap manusia yang menganggap sungai sebagai saluran mudah untuk membuang segala sampah, kotoran dan sisa. Natijahnya, perkembangan ini telah memutuskan hubungan antara masyarakat dengan sungai kerana sungai tidak lagi boleh digunakan oleh masyarakat untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti mandi-manda, membasuh, menangkap ikan dan berekreasi. Penggunaan sungai kini terhad kepada fungsinya sebagai laluan pengangkutan sahaja (Sulong et al. 2005).




Kekotoran dan pencemaran sungai di negara ini antara lain berpunca daripada perbuatan golongan yang tidak bertanggungjawab iaitu mereka yang dianggap tidak menitikberatkan kebersihan alam sekitar dan kepentingan masyarakat awam lain yang turut mempunyai hak terhadap sungai tersebut. Selain itu, ia turut disumbangkan oleh minda dan sikap pihak berkuasa dan orang ramai yang kurang mempunyai kesedaran untuk memulihara alam sekitar.



Di sana-sini, kita dapat melihat bagaimana sungai dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah sarap dan segala sisa kotoran. Sebagai contoh, Sungai Pinang di Georgetown Pulau Pinang. Suatu ketika dahulu, sungai ini membentuk system pengangkutan air utama tetapi kini menjadi ‘sungai mati’ setelah kualiti air yang diakui teruk pada 1980-an, kini menjadi semakin teruk disebabkan segala bahan buangan dicampakkan ke situ sebelum mengalir ke laut. Laporan Kualiti Alam Sekitar 2004 menyebut Sungai Pinang terus kekal sebagai sungai paling kotor dan tercemar sepanjang tahun di Malaysia walaupun sudah sekian banyak program pemulihan sungai itu dilakukan sehinggakan airnya langsung tidak sesuai untuk tujuan minuman.



Masalah pencemaran sungai telah mendatangkan kesan yang besar terhadap kehidupan manusia, terutamanya apabila sumber air yang dibekalkan kepada pengguna sukar dirawat. Pencemaran sungai juga menimbulkan masalah lain kepada manusia seperti merebaknya penyakit, musnahnya ekosistem akuatik dan terganggunya keselesaan umum. Sebagai contoh, oleh kerana kebanyakan sungai di Lembah Klang dikategorikan sebagai tercemar teruk dan cetek akibat dilimpahi oleh sampah sarap dan kelodak, maka kejadian banjir kilat kerapkali melanda terutamanya di sekitar Kuala Lumpur.



Agensi yang dianggap bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan sungai ialah Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar. Pengurusan sungai menumpukan kepada pelbagai aspek pemeliharaan dan pemuliharaan sungai yang melibatkan kaedah perundangan dan kaedah bukan perundangan. Kaedah perundangan melibatkan penggunaan polisi dan perundangan dalam pengurusan sungai antaranya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Kaedah bukan perundangan pula antara lain membabitkan penglibatan orang ramai dalam projek pemeliharaan sungai, penglibatan Oganisasi Bukan


Kerajaan dan media massa dalam menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya penjagaan sungai serta peranan institusi pendidikan melalui pendidikan secara


formal mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.



Hari demi hari jika keadaan pencemaran sungai ini bertambah buruk, maka manusia secara sedar atau tidak telah meracuni diri mereka sendiri. Punca pencemaran dan kerosakan sungai boleh disimpulkan kepada faktor budaya campak buang yang berkait rapat dengan sikap masyarakat umum sama ada pengilang, penternak dan penduduk setempat yang tidak menghargai sungai sebagai sumber. Penyerahan tanggungjawab penjagaan sungai kepada kerajaan juga menerangkan betapa rendahnya tahap penglibatan masyarakat dalam usaha pemeliharaan sungai. Sikap dan paradigama masyarakat harus diubah terlebih dahulu, dengan ini barulah segala langkah saintifik dan pengurusan kawalan terhadap pencemaran sungai memberi makna dan berjaya dilaksanakan kerana sebahagian besar masyarakat telah memahami dan berupaya menilai kualiti sungai.


DAYANA BINTI ISMAIL (116615)


















No comments:

Post a Comment