Saturday, January 23, 2010

Hargailah anugerah itu...


Wanita adalah sebuah karya terindah tuhan yang penuh dengan persona sepanjang waktu. Wanita dan kecantikkan tidak dapat dipisahkan, oleh itu pada masa kini wujudlah Pusat Rawatan Kecantikkan atau SPA yang tumbuh bagaikan cendawan. Kebanyakkan kita ke SPA atau Pusat Rawatan Kecantikan hari ini adalah untuk memperelokkan lagi diri serta mengindahkan lagi penampilan diri, bukan hanya sekadar untuk membelai tubuh dan wajah yang sudah kelihatan kusam, sebaliknya kita pasti turut mengidamkan ketenangan ketika melakukannya..
Ketenangan yang kita inginkan bukan sekadar ketenangan pada pandangan mata dan zahiriah sahaja, tetapi ketenangan yang kita impikan adalah ketenangan yang abadi dan hakiki. Dalam menyusuri proses ketenangan yang diingini ini, sudah semestinya segala bentuk atau punca pencemaran harus kita hindarkan. Pencemaran yang paling menggugat taraf penghidupan kita pada hari ini adalah pencemaran yang bersangkut – paut atau yang berkaitan dengan “air”.
Hubungan keakraban kita dengan air, amatlah ketara. Keadaan ini boleh dilihat kerana sebahagian besarnya kompositi dan komposisi diri manusia itu sendiri yang keseluruhannya terdiri daripada air. Ianya juga meliputi 71 % daripada muka bumi serta ianya melengkapi 65 % daripada badan kita. Kita menggunakan penyataan ini hampir setiap hari dan ketika, tetapi kita tidak memberi perhatian dan penekanan yang jitu terhadap gejala ini. Keakraban ini juga boleh ditafsirkan sebagaimana akrabnya sepasang mata yang
“ berkedip bersama, bergerak bersama, menangis bersama, melihat bersama dan tidur bersama meskipun mereka tidak pernah melihat antara satu sama lain”, begitulah kita ibaratkan keakraban ini.
Bak kata perpatah lama, “ Tuai padi antara masak, esok jangan layu – layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu – rinduan. Maka kita sebagai generasi yang celik minda dan berpengetahuan haruslah menjaga keakraban ini agar tidak dicemari dan dimusnahkan oleh kepesatan pembangunan zaman dan era globalisasi ini.
Dengan terzahirnya gejala pencemaran ini akan menyingkap pelbagai fenomena alam, oleh itu masyarakat hari ini seharusnya lebih memahami dan sedar bahawa bumi adalah sebagai satu khazanah yang perlu dilestarikan kewujudannya agar kekal buat tatapan generasi mendatang dan dapat ditinggalkan untuk diwarisi hari muka.
Pencemaran air dalam kata lain adalah perubahan sifat – sifat fizikal, kimia atau biologi air sehingga menjejaskan kegunaan yang berfaedah serta ianya mengancam kesihatan, keselamatan dan kebajikan penduduk, hidupan lain serta tumbuh – tumbuhan. Pencemaran air ini boleh diklarifikasikan terbahagi kepada 2 ( dua ) komponen utama iaitu pencemaran air sungai dan pencemaran air laut.

Pencemaran sungai
Sungai merupakan anugerah yang tidak ternilai kepada seluruh umat manusia. Namun sejak kebelakangan ini sungai–sungai di negara kita amat tercemar. Sepatutya sumber air ini haruslah dihargai sepenuhnya. Jika ditakdirkan kita mengalami krisis air, kesannya amatlah buruk kepada kita kelak.

Tahukah anda bahawa pencemaran sungai ini, amat menakutkan berbanding pencemaran laut kerana ianya lebih berdekatan dengan penggunaan harian kita. Ianya juga merupakan unsur utama penghidupan manusia. Proses yang paling ketara tentang kepelbagai kepenggunaan sungai termasuklah menjana kuasa tenaga hidroelektrik, merupakan sumber bekalan air yang bersih untuk kegunaan domestik, perindustrian, pertanian – sumber pengaliran, penternakan, perikanan, rekreasi dan sebagainya.
Menurut laporan Bernama ( 30 Disember 2005 ) Di Negara kita terdapat empat sungai yang paling teruk kualiti pencemarannnya, sungai terbabit adalah Sungai Menggaris di Sabah, Sungai Jelutong di Pulau Pinang serta Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu di Johor. Taraf pencemarannya bukan sahaja tidak boleh diguna-pakai untuk pengurusan aktiviti seharian malah ianya boleh mengugat nyawa hidupan lain.
Jabatan Alam Sekitar Malaysia telah mengeluarkan laporan pemantauannya terhadap sungai–sungai tersebut dan didapati punca pencemaran itu terjadi daripada tiga sumber utama iaitu pencemaran fizikal seperti sampah sarap, pencemaran biologi seperti najis binatang yang akan menyebabkan kemunculan Bakteria E. Coli dan akhirnya pencemaran kimia yang terdiri daripada bahan kimia terlarut yang berpunca daripada 2
( dua ) jenis pencemaran tadi.
Pencemaran air berlaku apabila perubahan berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan memberi kesan apabila digunakan. Pencemaran air bukan hanya berlaku di sungai tetapi juga di laut dan ianya boleh berlaku secara sengaja atau tidak. Kebanyakan pencemaran ini wujud adalah berpunca daripada bahan pencemar dari kilang.

Pencemaran Laut
Tahukah kita bahawa peranan laut begitu menakjubkan sebagai pemampan?. Ia memampan haba, gas rumah hijau karbon dioksida dan bahan cemar untuk mengimbangkan iklim bumi seterusnya melindungi manusia daripada perubahan mendadak kenaikan suhu bumi akibat proses pemodenan.
Berbanding pencemaran darat yang boleh dilihat dengan jelas dan lebih mudah diuruskan, pencemaran di laut tidak dapat disempadankan. Kesan buruknya akan berlaku secara global dengan pesat namun tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Malangnya kebutaan ini menyebabkan manusia kian angkuh dengan pelbagai aktiviti yang terus-menerus memusnahkan laut.
Peningkatan drastik pencemaran laut berasaskan plastik sejak tahun 1940-an kini merupakan isu yang begitu meruncing. Setiap tahun puluhan ribu hidupan marin terkorban akibat plastik. Malah ada kajian mendapati sekurang-kurangnya 30,000 hidupan mati terperangkap dan sebagainya.
Di Malaysia, pencemaran sisa industri yang mengalir ke laut terutama di negeri-negeri perindustrian Pulau Pinang, Selangor dan Johor harus diberi perhatian. Ini kerana pencemaran itu boleh menjejaskan hidupan marin dan seterusnya sumber makanan dan ekonomi nelayan tradisional.
Tumpahan minyak paling buruk dalam sejarah adalah kapal tangki minyak Exxon Valdez pada 1989 yang pecah dan menumpahkan lebih 35,000 tan minyak mentah di perairan Prince Wiilian Sound di Alaska. Minyak bukan saja telah meliputi lebih 2,300 kilometer persegi permukaan laut malah dalam masa tiga hari, 50 peratus daripada minyak itu mendak di persisiran pantai. Ini menyebabkan kematian ratusan ribu hidupan marin termasuk 13 peratus daripada populasi anjing laut, 28 peratus daripada populasi memerang laut dan sehingga 645,000 ekor burung laut.

Malah, hakikat bahawa minyak berskala besar tumpah ke dalam salah satu ekosistem marin terkaya dengan biodiversiti dunia telah menyebabkan kegemparan di serata dunia serta menimbulkan pelbagai kontroversi. Apatah lagi, kajian selepas 15 tahun menunjukkan penyembuhan semula kawasan terjejas masih terlalu perlahan. Ini tidak berbaloi dengan kos besar AS $3 bilion yang telah dibelanjakan untuk membersihkan tumpahan tersebut. Jika negara kita menghadapi situasi yang sama, kemungkinan besar kita hanya mampu tersenyum dalam mengejar kemodenan dunia dan tidak mustahil hingga kini kita masih lagi dibelenggu hutang dalam merealisasikan negara maju.
Walau apa, bagaimana, salah siapa dan siapa yang harus dipertangungjawabkan, bukalah mata, celikkanlah minda dan asahkanlah pendengaran anda serta buatlah penilaian, keputusan dan pengamatan di dalam menangani krisis yang melanda dunia ini.
Jangan diperkotak-katikkan gejala ini, kelak ianya bisa mengancam dunia dan membinasakan hari muka kita.
Keputusan dan matlamat adalah ditangan anda, bumi kita adalah untuk kita, perlakuaan kita adalah untuk ditinggalkan dan diwarisi oleh anak cucu kita. Jika kita tidak menjaga dan mengawalnya, siapalah kita untuk memperbaiki nanti.
Kesan yang buruk tidak akan nampak dalam sekelip mata tetapi ianya akan memusnahkan ciri – ciri keindahan dunia dalam jangka masa yang panjang.
Kawallah pencemaran ini, jangan biarkan ia menguasai dunia kita.




No comments:

Post a Comment